Terengganu yang terkenal sebagai negeri batu bersurat banyak memberi sumbangan besar di dalam bidang keagamaan. Sebagai sebuah negeri yang terawal menerima kedatangan Islam, dapat dilihat perkembangan Islam di Terengganu begitu bercambah dengan tuntas. Nilai keagamaan ini mengakar dalam sejarah, kebudayaan, pendidikan dan kehidupan rakyat Terengganu.
Kehidupan nilai beragama yang tinggi di Terengganu dapat dilihat dalam tradisi kesultanan itu sendiri yang berpegang teguh dengan agama Islam serta mendampingi para ulama. Sejak dari zaman Sultan Zainal Abidin I yang mendampingi Shaykh Abdul Malik Abdullah (Tok Pulau Manis) dapat dilihat hubungan keakraban yang mana Tok Pulau Manis merupakan Syeikhul Islam dan mufti pada ketika itu. Begitu juga dengan sultan-sultan yang memerintah selepas itu terutamanya Sultan Baginda Omar dan Sultan Zainal Abidin III yang begitu mengambil berat tentang agama Islam serta mengangkat para ulama pada kedudukan yang tinggi. Malah Sultan Zainal Abidin III merupakan seorang sultan yang alim dan warak di dalam bidang agama.
Shaykh Abdul Qadir Bukit Bayas antara tokoh yang dilantik menjadi mufti pada zaman Sultan Baginda Omar pada sultan sendiri merupakan anak murid beliau. Ada 3 buah kitab yang digunakan sebagai pengajaran dan pendidikan pada ketika itu iaitu:
1. Karya Imam al-Ghazali yang berjudul كتاب ذم الدنيا وهو الكتاب السادس من ربع المهلكات والسادس والعشرون من كتب احياء علوم الدين
2. Karya Shaykh Daud al-Fatani yang berjudul المنهل الصافى في بيان رموز اهل الصوفي
3. Karya Shaykh Ibrahim ibn Hasan al-Kurani iaitu himpunan 41 kitab dan risalah beliau iaitu مجموع مشتمل على احدى و اربعين رساله
Selepas kewafatan Shaykh Abdul Qadir Bukit Bayas, karya Shaykh Ibrahim al-Kurani tersebut berpindah milik kepada Sultan Baginda Omar dan kemudian sultan menghadiah karya tersebut kepada Shaykh Wan Abdullah (Tok Shaykh Duyong) sebagai bahan mengajar yang juga merupakan mufti pada zaman Sultan Baginda Omar dan Sultan Zainal Abidin III.
Tok Shaykh Duyong menjadikan karya Shaykh Ibrahim ibn Hasan al-Kurani ini sebagai pengajaran utama berbanding kitab-kitab yang lain. Malah Sultan Baginda Omar dan Sultan Zainal Abidin III sendiri datang ke Pulau Duyong untuk menuntut ilmu dengan Tok Shaykh Duyong.
Dapat dilihat bahawa Shaykh Ibrahim ibn Hasan al-Kurani antara tokoh besar yang memainkan peranan penting dalam membentuk dan mencorak tradisi keagamaan di Terengganu malah juga di alam melayu nusantara.
No responses yet