Shaykh Ismail al-Minangkabawi merupakan tokoh Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah yang terkenal di nusantara yang mana para peneliti kebiasaannya akan mengaitkan beliau dengan perkembangan Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah di Mekah, minangkabau dan nusantara. 

Pendidikan awal beliau bermula di surau-surau di sekitar minangkabau. Kemudian melanjutkan pembelajaran ke Mekah dan Madinah selama hampir 35 tahun. Antara guru-guru beliau di Mekah ialah Shaykh Uthman al-Dimyathi, Shaykh Ahmad al-Dimyathi dan Shaykh Muhammad Said al-Shāfie al-Qudsi yang merupakan mufti mazhab syafie di Mekah pada ketika itu. 

Di dalam ilmu haqiqat, beliau pula belajar dengan Shaykh Ata’illah ibn Ahmad al-azhari, Shaykh Abdullah al-Syarqawi, Shaykh Muhammad Ali al-Shanawī, Shaykh Abdullah Affandi dan Shaykh Khalid al-Uthmani al-Kurdi. 

Shaykh Ismail al-Minangkabawi mengambil baiah Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah daripada Shaykh Abdullah Affandi al-Khalidi di Jabal Abi Qubays. Beliau juga mengambil baiah dari Shaykh Khalid al-Kurdi. Di Jabal Abi Qubays inilah beliau menempuh jalan suluk dibawah bimbingan guru beliau seterusnya menjadi khalifah. 

Sehingga kini ditemukan pelbagai karya beliau sama ada yang bercetak mahupun yang masih manuskrip. Manuskrip yang dipaparkan merupakan sebuah nazam yang ditulis oleh Shaykh Ismail al-Minangkabawi. Tidak ditemukan judulnya dan tarikh bermulanya penulisan nazam ini. Namun demikian pada akhir teks tertera kolofon bahawa naskhah ini selesai pada 1270 hijrah. Tidak ditemui juga tempat penulisan manuskrip ini.

Manuskrip ini membahaskan mengenai doa tawassul dengan shaykh-shaykh di dalam silsilah tarekat Naqsyabandiyah bermula dari awal penerimaan ajarannya dari Allah s.w.t melalui perantara malaikat Jibril kemudian disampaikan kepada Nabi Muḥammad s.a.w dan seterusnya kepada Abū Bakar al-Ṣiddīq hingga diterima kepada Syeikh terakhir yang menulis teks naẓm ini. Manuskrip ini ditulis dalam bentuk bait syair lengkap dengan wazan, bahar dan qafiyah.

Wallahua’alam

9 Jamadilakhir 1442/22 January 2021

No responses yet

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *