Shaykh Abdul Malik Bin Abdullah atau dikenali dengan laqab Tok Pulau Manis merupakan tokoh yang tidak asing lagi di terengganu yang dilahirkan di Kampung Pauh, Hulu Terengganu. Beliau merupakan keturunan daripada Shaykh Sharif Mohammad al-Baghdadi iaitu seorang ulama daripada baghdad yang yang bergerak aktif sebagai pendakwah pada abad ke-16. Tok Pulau Manis dipercayai sempat belajar di Aceh dan seterusnya ke Mekah.
Tok Pulau Manis pulang ke tanah air sekitar tahun 1690-an. kembalinya Tok Pulau Manis kepada masyarakat diperkukuhkan dengan sharh Hikam melayu nya serta pertaliannya dengan pembesar tempatan di negeri Terengganu. Malah disebabkan oleh pertalian Terengganu dengan Johor, peranan Tok Pulau Manis menjadi lebih penting dalam perkembangan sosial semasa. Tok Pulau Manis juga bertanggungjawab membawa dan menabalkan Sultan Zainal Abidin I menjadi pemerintah negeri Terengganu (1725-1734) yang berlangsung di Tanjung Baru dan Sultan Zainal Abidin I juga telah berkahwin dengan anak perempuan Tok Pulau Manis. Apabila Tok Pulau Manis berpindah ke Hulu Terengganu dan menetap di Pulau Manis, Baginda juga turut berpindah dan menetap disitu sebelum memilih tempat persemayaman tetapnya di Kuala Terengganu.
Di Pulau Manis inilah permulaan munculnya institusi pengajian Tok Pulau Manis. Menurut Dr. Shafie Abu Bakar jumlah kitab-kitab yang terkumpul di institusi pengajian tersebut lebih kurang 771 buah kitab yang merangkumi pelbagai bidang dan sebahagian besarnya adalah manuskrip bertulisan tangan. Kitab-kitab ini telah dipindahkan beberapa kali mengikut dimana bertempatnya keturunan Tok Pulau Manis yang berpengajian yang menghidupkan terus institusi pengajian ini. Perpindahan berlaku dari Pulau Manis ke Beladau seterusnya ke Serengas dan akhir sekali ke Padang Midin, Terengganu.
Daripada sejumlah kitab yang banyak ini, ditemukan beberapa kitab yang merupakan karya penulisan Tok Pulau Manis antaranya Sharh Hikam Melayu, Kitab Kayfiyyat al-Niyyat, Kitab al-Kifayah dan Risalah Naql.
Risalah Naql merupakan sebuah naskhah salinan. kenyataan ini tertera pada sebelah atas belah tepi disebelah kanan muka pertama kitab yang menyatakan:
“Naql ini daripada Shaykh kami Datuk Pulau Manis ibn Abdullah Jawiyy afallah anhu”
Naql ini beerti salinan ertinya kitab ini adalah salinan dari karya Tok Pulau Manis yang mana Risalah Naql ini ditulis dengan cara mengutip (memindahkan) pelbagai pendapat dari ulama-ulama di dalam membicarakan hukum fiqh mengenai solat jumaat.
Pada akhir penulisan terdapat juga bukti bahawa karya ini merupakan karya Tok Pulau Manis seperti mana berikut:
“Maka adalah faqir yang hina ini iaitu Haji Abdul Malik dan menjawikan jua. Sekali-kali tiada ia membuat kata-kata maka barangsiapa mungkir akan perkataan ini maka adalah ia mungkir akan segala pendita (ulama) yang tersebut di dalam Naql ini dan jangan sesekali siapa menyangkal bahawa faqir ini berbuat kata-kata dengan sendiri kerana orang jawiyy”
Terdapat bukti yang jelas di dalam Risalah Naql ini bahawa Tok Pulau Manis merupakan anak murid kepada Shaykh Ibrahim al-Kurani al-Madani sebagaimana berikut:
“هذا منقول من الجواب بالغروية للمسئل الجاوي تأليف شيخنا و قدوتنا الشيخ ابراهيم ابن حسن الكردى ثم المدني
ertinya: ini dipindahkan daripada kitab Jawab al-Gharawiyyah bagi masalah jawi iaitu karangan Shaykh kami dan ikutan kami Shaykh Ibrahim ibn Hasan Kurdi nama benarnya lagi madinah tempatnya”
Naskhah al-Jawabat al-Gharawiyyah lil masail al-jawiyyah al-juhriyyah merupakan karya Shaykh Ibrahim al-Kurani yang ditulis bagi menjawab 5 soalan yang datang dari negeri Johor. Permasalahan mengenai solat jumaat ini memang ada dinukilkan di dalam naskhah al-Jawabat ini bagi permasalahan atau soalan yang ke-4.
Di dalam Risalah Naql turut mengutip pandangan Shaykh Ahmad al-Qushashi di dalam karya Munyat ahl wara serta beberapa pembuktian bahawa Shaykh Abdul Rauf Singkel pernah datang ke Terengganu kerana ditunjukkan Risalah Naql ini kepadanya oleh Tok Pulau Manis.
Soalan yang mungkin menarik, adakah kemungkinan naskhah al-Jawabat al-Gharawiyyah lil masail al-jawiyyah al-juhriyyah merupakan pertanyaan dari Tok Pulau Manis sendiri kerana pada zaman tersebut sungguh erat hubungan diantara Terengganu dan Johor serta Tok Pulau Manis sendiri merupakan murid langsung dari Shaykh Ibrahim al-Kurani al-Madani.
No responses yet